Wednesday, April 22, 2009

Lawatan Ke SK Seri Telok

Tujuan lawatan ini ialah untuk merapatkan silaturrahim antara warga pendidikan khas daerah Batu Pahat khasnya dan antara sekolah umumnya. Lawatan ini di sertai oleh kesemua warga PPKI. Dengan menaiki bas yang disewa khas, kami bertolak ke SK Seri Telok kira-kira jam 8.30 pagi.




Murid-murid teruja menaiki bas. Kebanyakan mereka tidak pernah berpeluang menaiki kenderaan ini. Peluang sebegini mampu memupuk semangat bersosial mereka agar mempunyai keyakinan diri dan boleh bercampur dengan ahli masyarakat lain walaupun mereka mempunyai kekurangan.



Suhaimi, Mahathir, Farid dan Sharul. Antara gembira, berdebar dan was-was. Gembira dapat keluar kelas, berdebar menaiki bas, was-was sebab tak bawa beg pakaian. Mereka tidak dapat membayangkan destinasi dan tujuan lawatan. Penerangan demi penerangan perlu diberi kepada anak-anak ini.



Rombongan kami tiba jam 9.00 pagi. Suasana persekitaran agak sepi kerana masih dalam sesi P & P. Kami terus menuju ke kelas pendidikan khas sekolah ini. Di sana kehadiran kami rupanya telah dinantikan.





Kehadiran kami disambut oleh Penyelaras Pendidikan Khas SK Seri Telok iaitu Pn Shamsiah, guru-guru PK iaitu Pn Suhaila, Cik Hidayah dan 2 orang PPM serta murid-murid PK. Di sini terdapat seramai 30 orang murid PK, 5 orang guru serta 2 orang PPM.




Acara pertama, makan. Kami telah dijamu di kantin sekolah. Mihunnya memang menyelerakan. Selepas itu, murid-murid menyertai sukaneka di padang sekolah. Antara acara yang dijalankan ialah membawa botol mineral dengan tali pancing dan menyambut belon berair. Walaupun agak panas, murid-murid dari kedua-dua sekolah ini amat ceria dan bertenaga.


Beginilah keletah anak-anak khas. Ceria dan gembira sentiasa. Cantikkan mereka memakai uniform!






Ukhuwah dari 2 sekolah. Ibnu dan Suhaila.

Wednesday, March 4, 2009

Lawatan Sambil Belajar ke Summit Parade












Pada 4 Mac 2009 yang lalu, PPKI telah mengadakan Lawatan Sambil Belajar ke Summit Parade. Kami menggunakan perkhidmatan bas awam dari sekolah. Kami memenuhi pawagam GSC di Summit Parade. Majoriti murid istimewa ini tidak pernah menjejakkan kaki di sini. Filem animasi Geng Pengembaraan Upin & Ipin menjadi pilihan untuk aktiviti sosial ini.







Thursday, February 12, 2009

Gotong-royong

Semangat berkebun yang ditunjukkan murid-murid PPKI SK Peserai...
Hasil yang diusahakan dari tahun lepas berjaya dituai hari ini. Ubi kayu yang ditanam dengan bimbingan Puan Jamaliah Binti Maskan.


Bangunan kayu yang menjadi tapak kelas untuk PPKI ini berusia 100 tahun pada tahun ini. Keadaannya masih utuh manakala ruang bawahnya tidak terlalu semak. Inilah sebahagian tugas murid-murid istimewa ini semasa Hari Gotong-royong SK Peserai.


Tidak mengenal saiz tubuh, Shamzarina bersemangat untuk membersihkan persekitaran kelas seperti teman-temannya yang lain.

Sukaneka

GPK Pendidikan Khas, YM Pn Engku Norhaliza Tengku Amri dan GPK Kokurikulum, En Aziz Seman yang turut turun padang untuk memberikan semangat kepada anak-anak istimewa ini.


Guru-guru Pendidikan Khas, Pn Jamaliah Maskan dan Pn Nor Haida Md Yusof bersama guru-guru aliran perdana, Pn Hamidah Jamhari dan Pn Normala Suleiman yang turut serta memberi galakan dan dorongan kepada murid istimewa.



Murid ini begitu ceria dan punya keyakinan diri yang tinggi di kalangan mereka. Semoga ini dapat memotivasikan mereka untuk menyertai aktiviti sosial masyarakat luar kelak.



Suhaimi Asman mencari arah untuk larian selepas ini. Walaupun termengah-mengah, namun semangat juang dan tidak cepat mengalah dapat dilihat melalui aksinya ini.








Perubahan kepada Muhd Hanafi Hamzah yang hipoaktif amat ketara kini. Bidang sosialnya semakin luas malah tidak perlu dipaksa untuk melakukan sesuatu lagi.

Tuesday, January 13, 2009

Gelagat Murid Autisme

Sila klik button play untuk melihat telatah Nurul.

Nurul sangat minat dan berbakat dalam bidang nyanyian. Jika teman lain hanya mendengar muzik, Nurul tidak dapat menahan diri dari menggerakkan tubuhnya. Video ini dirakam sewaktu kelas Pendidikan Seni di mana lagu korus " Ku Mahu " dendangan Siti Nurhaliza didengarkan bagi menimbulkan rasa tenang di kalangan murid istimewa ini. Malang sedikit kerana mikrofon tiada jadi kita hanya mampu melihat telatah Nurul sahaja.

Saturday, June 14, 2008

Pertandingan Bowling Peringkat Daerah

Sebelum acara bermula... GPK Pendidikan Khas, Pn Engku Norhaliza turut turun padang memberikan sokongan

Selepas upacara penyampaian hadiah. Permainan ini diadakan di Pacific Bowl, Batu Pahat Mall.

Debaran menanti keputusan diumumkan.



Siti menjadi JOHAN!! Siti seterusnya akan mewakili daerah ke peringkat negeri. Berbakat sungguh anak didikku.



Inilah anak didikku tersayang. Jurulatih @ juruletih sebenarnya. Melatih mereka umpama melatih seorang anak dan juga sahabat. Psikologi memainkan peranan penting dalam menaikkan semangat dan keyakinan diri terhadap bakat yang mereka ada.




Saturday, April 12, 2008

Bowling Pendidikan Khas Daerah

Siti Nur Hafifah Maulad Ishak dari SK Peserai berjaya menjadi Johan Sekolah Rendah dan mewakili daerah ke peringkat negeri. Walaupun agak perlahan lontarannya, Siti memang mempunyai bakat semulajadi dalam permainan ini.


Bersama GPK Pendidikan Khas SK Peserai, Pn Engku Norhaliza Tengku Amri. Dari kiri, Nur Azsuimah Zakaria, Muhd Fathurrahman Ismail, Muhd Nur Hakim Kamaruzaman dan Siti Nur Hafifah Maulad Ishak. Fathurrahman berjaya menjadi naib johan kategori sekolah rendah.



Beraksi dalam keletihan. Waaupun penat, kami gembira dan teruja dengan kemenangan yang tidak disangka.