Lilypie - Maternity

Thursday, March 31, 2011

TakZiaH ShAmZaRiNa!!

Hari ini PPKI telah dikejutkan dengar berita pemergian ayah Shamzarina. Encik Sulaiman Atan telah meninggal kira-kira jam 2.00 pagi akibat serangan jantung. Takziah buat Sham... Insaf kami. Benarlah mati itu pasti..

Shamzarina merupakan anak kedua daripada 3 beradik. Murid mikrosefelus ini baru berusia 11 tahun. Kakak beliau pula menuntut di Tingkatan 1 manakala adik beliau baru berusia 2 tahun. Ibunya surirumah manakala arwah ayahnya bekerja kampung.

Guru-guru PPKI telah menziarahi beliau di rumah PPRT yang baru saja siap dibina. Jenazah sudah siap dikafankan. Sham lengkap bertudung menyambut kehadiran kami dengan salaman & senyuman. Fahamkah anak ini makna kehilangan??

Tatkala bacaan yasin dimulakan, Sham duduk di pangkuan GPK PPKI kami. Tidak lama, kedengaran tangisan kecil dari anak ini. Sayunya hati mendengar dan melihatnya. Sabarlah nak..

Setelah bacaan tahlil & yasin, saudara terdekat membuka bahagian muka untuk menatap wajah arwah, tatkala Sham dipanggil untuk melihat sama, beliau hanya menggeleng-gelengkan kepala. Terlalu pedih dan sedih hatinya. Ayahnya yang menghantar ke sekolah setiap pagi telah pergi. Bagaimana selepas ini? Ibunya tidak tahu menunggang motosikal. Adakah Sham tidak akan bersekolah selama-lamanya??

Untuk itu, kami pihak PPKI telahpun punya jalan penyelesaian. Tapi bagaimana untuk kehidupan seharian beliau sekeluarga?












Friday, March 11, 2011

LaWaTaN SaMbiL BeLaJaR Ke JoHoR BaHRu





















Pada 10 Mac 2011 ( Khamis ) PPKI telah menganjurkan Lawatan Sambil Belajar ke Johor Bahru. Seramai 42 orang terdiri daripada murid, guru, pembantu murid dan ibu murid yang menyertai lawatan ini. Kami bertolak seawal jam 7.30 pagi dengan dimulakan bacaan doa bagi memohon keberkatan dan keselamatan perjalanan kami. Kami berbangga kerana guru besar kami, Tuan Haji Sarkawi Bin Haji Satu, sudi mengiringi kami dari kelas sehinggalah memberikan lambaian kepada kami semasa bas mula meninggalkan perkarangan sekolah.

Perjalanan memakan masa agak lama kerana murid-murid kerap hendak membuang air kecil. Kami berhenti untuk bersarapan pagi di hentian sebelah Renggam. Menu pada pagi itu ialah nasi lemak bertelur rebus dengan air mineral.

Destinasi pertama kami ialah Zoo Johor. Kami dapat melihat persembahan burung-burung yang amat bijak dan terlatih bernama Tom dan Jerry. Antara aksi mereka ialah menambah nombor yang dipilih penonton, menyelesaikan puzzle, berlumba mengutip bola, meneka kertas di bawah mangkuk dan mula berlakon sebagai penjahat yang ditembak mati apabila penonton menjerit "ACTION!" dan hanya bangun apabila jeritan "CUT" dilaungkan.

Kami juga berkesempatan melihat singa yang baru sahaja dikeluarkan dari kandangnya. Agak agresif sehingga ramai antara kami yang terjerit apabila singa itu cuba untuk melepaskan diri dari rantainya. Kemudian kami dapat melihat unta, tapir, ular, kuda, orang utan, harimau, gajah, dan pelbagai jenis burung di sana. Kami juga berpeluang berkayuh di tasik dalam zoo ini.

Sebelum pulang, pihak zoo memberi peluang kepada kami semua bergambar dengan ular sawa secara percuma. Terima kasih Zoo Johor!! Ramai juga antara kami yang berani apabila ular dililitkan di leher mereka, tidak kurang yang menjerit dan cuba menjauhkan diri apabila pelatih ular tersebut hendak melilitkan ular sawa.

Kami meneruskan tentatif kami dengan makan tengah hari di Restoran Hutan Bandar. Cuaca yang mendung dengan gerimis yang halus membuatkan nasi ayam yang dipesan licin dalam masa yang singkat. Selepas itu, kami terus menuju ke JARO ( Johor Area Rehabilitation Organisation ) iaitu Pertubuhan Pemulihan Kawasan Negeri Johor. Ia merupakan satu-satunya pertubuhan yang menawarkan pekerjaan kepada orang kurang upaya.

Ia ditubuhkan pada tahun 1952 dan setakat ini mempunyai 3 bengkel iaitu bengkel jahitan, anyaman bakul dan jilidan buku. Kesemua hasil bengkel ini memang bermutu tinggi dan mempunyai pasaran yang baik. Antara kategori OKU yang ada di sini ialah masalah penglihatan, pendengaran, down sindrom dan spastik. Memang menakjubkan apabila melihat cara mereka bekerja. Kami tidak melepaskan peluang untuk membeli barangan yang ada kerana harganya jauh lebih murah berbanding yang dijual di luar. Untuk maklumat lanjut, sila klik sini.

Setelah selesai membeli barang di JARO, kami terus singgah ke Masjid Sultan Abu Bakar untuk menunaikan solat Zuhur dan Asar serta melepaskan lelah. Di sini juga bekalan yang dibawa, dibuka untuk dimakan bersama-sama. Murid-murid juga telah diberi bekal oleh ibu bapa mereka untuk dijamu beramai-ramai. Ada yang membawa karipap, sosej, sardin roll, kek span, kerepek pisang, sandwich dan kuih onde-onde.

Selesai menunaikan solat Asar, kami berkemas-kemas menuju ke Selera Larkin untuk makan malam di sana. Walaupun jam baru menunjukkan pukul 5.45 petang, kami terpaksa makan awal kerana keretapi dijadualkan sampai pada jam 7.50 malam.

Kami tiba di JB Central jam 6.40petang. Pertama kali kami jejak kaki di sini. Baru dibuka rasanya, secanggih KL Central. Suasana agak sibuk apatahlagi hujan masih renyai-renyai. Kami masuk ke Dewan Berlepas jam 7.45 petang. Keretapi pula sampai tidak lama kemudian. Kami mendapat tempat khas di koc ekonomi yang paling depan sekali. Keretapi berhenti di Stesen Kempas Baru, Kulaijaya dan selepas itu, hampir semua peserta lena dibuai mimpi hinggalah apabila hampir sampai di Kluang sekitar jam 10.15mlm, seorang petugas KTM telah mengejutkan kami. Terima Kasih KTM!!

Bas kami telah sedia menunggu di sana. Dalam perjalanan pulang itu, kami singgah sebentar di stesyen minyak di Kluang untuk melepaskan 'hajat' . Murid masih lagi riuh berbual dan bergurau-senda. Tidak sampai 15minit, suasana sunyi sepi. Kami tiba di SK Peserai sekitar jam 11.45malam.

Sungguh bermakna perjalanan kami hari ini. InsyaALLAH, satu lagi lawatan akan dianjurkan. Ke mana? Sabar ye....





























Wednesday, March 9, 2011

SaMbuTan HaRi JaDi NuRuL

Pada 07/03/2011, ibu Nurul telah berhajat untuk mengadakan majlis sambutan hari lahir Nurul yang jatuh pada 05 Mac ( Sabtu ). Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Cikgu Wan Ali diikuti nyanyian lagu Selamat Hari Jadi oleh semua warga PPKI. Nurul kemudiannya meniup lilin dan memotong kek yang begitu cantik dekorasinya. Selain itu, warga PPKI juga telah dijamu dengan hidangan roti bersama kari ayam. Tidak lupa, gula-gula untuk dibawa pulang.

Selamat hari jadi yang ke-12, Nurul!!
Moga panjang umur, dimurahkan rezeki & menjadi anak yang cemerlang, gemilang & terbilang.

Terima kasih Puan Sa'adah atas hidangan yang disediakan.