Monday, July 18, 2011

TakZiaH SyeD ALi....

14 Julai 2011, PPKI sekali lagi menerima berita sedih. Bapa murid kami iaitu Syed Ali Bin Syed Agil telah kehilangan ayahanda tercinta. Apa yang memilukan, Encik Syed Agil meninggal dalam kemalangan sewaktu mahu menghantar anak-anaknya ke sekolah.

Menurut sumber, beca yang dinaiki beliau telah dilanggar dari belakang. Kejadian berlaku sekitar 6.30pagi. Apa yang memilukan, pemandu tersebut terus meninggalkan kawasan kejadian tanpa memberi sebarang bantuan.

Syed Ali yang kebetulan menaiki basikal, agak lewat keluar dari rumah. Apabila sampai sahaja di sana, beliau terkaku melihat keadaan ayah dan adik-adiknya. Mujur salah seorang lagi murid kami bersama abangnya lalu di sana dan mengejutkan Syed Ali dari lamunannya. Mungkin ini hanya mimpi baginya...

Apa yang pasti, laluan ini adalah laluan harian saya ke sekolah. Di kawasan lampu isyarat Kampung Muhibbah ini, memang sering menjadi kawasan ngeri kerana ramai pemandu yang mahu berlumba dan sanggup memotong kiri sebaik lampu hijau sedangkan laluan itu menjadi laluan utama penunggang motosikal dan basikal. Jam 6.30 di situ memang masih gelap dan pemandangan terhad. Apalah salahnya lambat sedikit.

Seorang adik Syed Ali menerima rawatan sebagai pesakit luar manakala seorang lagi terpaksa ditahan kerana kecederaan di leher. Bagaimana kehidupan mereka sekeluarga selepas ini?

Sedikit latar belakang.

Warga Batu Pahat pasti pernah ternampak seorang lelaki atau perempuan yang berkulit hitam manis membawa beca yang agak usang dan dipenuhi kotak-kotak kosong, kertas-kertas, tin-tin dan botol-botol kosong di sekitar bandar. Terdapat tulisan BANTULAH KAMI beserta nombor telefon. Itulah dia beca keluarga Syed Ali. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Selalu juga Syed Ali dan adik-adiknya membantu mencari bahan terbuang selepas sesi persekolahan. Ditambah pula dengan ibunya yang menghidap sakit jantung. Sering juga ternampak Syed Ali tidur di jambatan berdekatan benteng pada waktu malam. Mungkin ia lebih selesa berbanding rumahnya yang usang dan serba kekurangan.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga Encik Syed Agil ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh..

No comments: